no comments

Hari pertama SPM, ibuku dijemput Ilahi [METRO]

MEMILUKAN apabila calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Agama Menengah Nurul Iman (SAMNI), Kampung Bukit Cerakah, Meru, Klang menerima khabar duka mengenai kematian ibunya akibat serangan jantung selepas selesai menduduki hari pertama peperiksaan itu, petang tadi.

Berita kejadian 12 tengahari menimpa ibunya, Maziah Alias, 50, itu diketahui Muhammad Noh Zakaria, 17, sejurus menduduki peperiksaan kertas dua Bahasa Melayu pada 4.30 petang.

Guru Besar Sekolah Agama Kota Damansara 5 itu, ditemui tidak sedarkan diri ketika berehat di bilik rawatan di sekolah itu selepas keletihan dan tidak bermaya.

Menurut Muhammad Noh, dia amat terkejut dimaklumkan mengenai pemergian ibunya itu oleh pengetuanya.

“Patutlah saya tidak sedap hati selepas solat Zohor tadi selain berasa degupan jantung tiba-tiba kencang, namun hanya menganggap ia perasan gementar sebelum menjawab peperiksaan.

“Selepas habis menduduki peperiksaan itu, saya dipanggil ke bilik pengetua dan mula berdebar kerana melihat bapa saudara turut berada di situ dan meminta saya supaya bersabar,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Budiman di sini, petang tadi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, malam ini.

Lebih 300 ahli keluarga termasuk saudara mara dan kenalan turut hadir memberi penghormatan kepada arwah yang turut dikenali sebagai Ustazah Maziah.